0 Israel Mahu Serang Iran?




TEL AVIV - Jika dunia hiburan kerap dikejutkan dengan pelbagai gosip hangat mengenai selebriti dan kehidupan mereka, dunia antarabangsa juga tidak kurang hebatnya.

‘Ruangan gosip’ dalam perhubungan antarabangsa sejak beberapa hari lalu mula diisi dengan spekulasi bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sedang mendapatkan sokongan Kabinet negara itu untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran, rancangan yang dianggap Teheran sebagai cubaan membunuh diri oleh Tel Aviv.

Spekulasi itu mula timbul apabila akhbar Israel, Haaretz melaporkan seorang pegawai kanan kerajaan mengesahkan Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak cuba mendapatkan sokongan anggota Kabinet yang tidak bersetuju dengan rancangan menyerang kemudahan nuklear Iran.

Netanyahu dan Barak juga baru-baru ini berjaya memujuk Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman untuk menyokong rancangan mereka walaupun sebelum ini Lieberman menentang serangan ke atas Iran.

Namun, Barak menafikan laporan media Israel bahawa dia dan Netanyahu telah membuat keputusan untuk melancarkan serangan ke atas Iran walaupun rancangan itu dikatakan ditentang ketua tentera dan agensi perisikan Zionis.

“Anda tidak perlu menjadi seorang yang genius untuk memahami bahawa pada zaman ini di Israel, dua individu tidak boleh membuat keputusan mereka sendiri,” katanya seakan-akan mengesah-kan kewujudan rancangan serangan itu.

Rancangan itu sebenarnya tidaklah terlalu mengejutkan kerana rejim Zionis pernah melancarkan serangan udara dan memusnahkan reaktor nuklear yang masih dalam pembinaan di Iraq, pada Jun 1981 dengan sokongan kuat bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang menjadi anggota Kabinet Keselamatan pada masa itu.

Dakwaan terbaru ini dikuatkan lagi dengan laporan akhbar Kuwait, Al-Jarida, semalam, bahawa Netanyahu mengarahkan agensi perisikan Israel menyiasat bagaimana perbincangan mengenai serangan ke atas Iran terlepas kepada media.

Sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat pula enggan memberi sebarang kenyataan mengenai laporan akhbar itu tetapi Washington kerap mengulangi akan mempertimbang menggunakan cara ketenteraan untuk menghalang Iran membangunkan senjata nuklear.

Tentunya rancangan gila Zionis ini menaikkan kemarahan Iran, dengan ketua tentera negara itu, Jeneral Hassan Firouzabadi memberi amaran rejim Israel akan menerima hukuman setimpal jika sebarang serangan dilancarkan.

“Kami menganggap sebarang ancaman sebagai ancaman sebenar. Dengan menggunakan peralatan yang betul, kami bersedia menghukum mereka dan membuat mereka menyesal,” katanya


Anda sedang membaca artikel Israel Mahu Serang Iran? dan link url bagi entri ini adalah http://manmala.blogspot.com/2011/11/israel-mahu-serang-iran.html. Semoga artikel Israel Mahu Serang Iran? ini bermanfaat buat anda.


Post a Comment

 

Return to top of page Copyright © OCT 2011 | manmala | Mereka Yang Memberi Lebih Mulia Dari Yang Menerima | HackTutors