0 Malaysia Seri 0 - 0 Dengan Singapura




Malaysia terpaksa melalui laluan penuh berliku pada saingan Kumpulan A apabila keputusan seri tanpa jaringan dengan Singapura pada perlawanan pembukaan bola sepak Sukan SEA ke-26 di Stadium Gelora Bung Karno di sini Isnin.

Kegagalan mengumpul mata penuh itu menyulitkan laluan ke separuh akhir berikutan kehadiran juara 13 kali Thailand, pasukan tuan rumah Indonesia dan Kemboja dalam kumpulan yang sama.

Malaysia, selaku juara bertahan, akan berdepan dengan Thailand, Rabu ini.

Pasukan bawah 23 tahun Malaysia itu memulakan permainan dengan rentak bertahan terhadap serangan Singapura, tetapi bangkit mengawal permainan selepas minit ke-20 dan mengekalkan semangat pertarungan sehingga wisel penamat.

Namun, beberapa peluang yang diperolehi oleh Malaysia gagal menemui penyudah.

Skuad Harimau Muda mensia-siakan sekurang-kurangnya lapan peluang keemasan yang boleh membawa Malaysia memungut tiga mata.

Sepakan tersasar ketua pasukan Baddrol Bakhtiar dan tindak balas lemah A. Thamil Arasu adalah aksi yang menghampakan harapan Malaysia untuk menebus kembali maruah setelah pasukan kebangsaan Malaysia dimalukan dengan kekalahan di tangan Singapura pada perlawanan pra-kelayakan Piala Dunia, Julai lalu.

Penjaga gol Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bagaimanapun beberapa kali menyelamatkan gawang Malaysia daripada dibolosi termasuk percubaan bahaya pemain Singapura Fazli Ayob pada minit ke-12.

Malaysia dinafikan sepakan penalti oleh pengadil Vietnam apabila Fandi Othman yang berjaya meloloskan diri, dijatuhkan oleh pemain pertahanan Singapura dalam kotak penalti pada minit ke-55.

Jurulatih negara Ong Kim Swee berkata anak-anak buahnya bermain cemerlang walaupun gagal menjaringkan gol.

"Kami sangat positif dengan permainan hari ini. Saya mengakui pasukan Malaysia telah mengawal permainan dengan baik sekali jika dibandingkan dengan Singapura," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami ada tiga lagi perlawanan yang perlu diberi lebih perhatian," katanya.

Mengenai ejekan penonton Indonesia terhadap Malaysia seperti yang berlaku hari ini, Kim Swee berkata ia bukan masalah kerana anak-anak buahnya sudah bersedia menghadapi keadaan itu.

"Awal-awal lagi kita sudah menjangka bahawa Indonesia tidak pernah menyokong pasukan Malaysia. Pada kami ejekan penyokong Indonesia bukan satu masalah.

"Bahkan ejekan penyokong Indonesia kepada pasukan Malaysia kami anggap sebagai motivasi untuk pasukan kami bermain dengan lebih baik lagi," katanya.


Anda sedang membaca artikel Malaysia Seri 0 - 0 Dengan Singapura dan link url bagi entri ini adalah http://manmala.blogspot.com/2011/11/malaysia-seri-0-0-dengan-singapura.html. Semoga artikel Malaysia Seri 0 - 0 Dengan Singapura ini bermanfaat buat anda.


Post a Comment

 
Blogged.my

Return to top of page Copyright © OCT 2011 | manmala | Mereka Yang Memberi Lebih Mulia Dari Yang Menerima | HackTutors