0 Perlawanan Akhir Malaysia Vs Indonesia Sukan SEA 2011





Sebagai tonggak yang membantu Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA dua tahun lalu, kapten skuad negara, Baddrol Bakhtiar mengakui, cabaran untuk mempertahankan kejuaraan kali ini jauh lebih sukar berbanding ketika memenanginya di Laos, menewaskan Vietnam di final.

Jelas pemain sayap berusia 23 tahun itu, pertarungan kali ini bukan saja memerlukan Malaysia berdepan pasukan kuat Indonesia, malah dikelilingi penyokong fanatik negara itu yang melakukan pelbagai serangan psikologi untuk menjatuhkan semangat pemain kita.

Biarpun berjaya menumbangkan tuan rumah 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Khamis lalu, namun Baddrol mengakui, pertemuan kali kedua dalam tempoh lima hari jauh berbeza, apatah lagi Indonesia pasti cuba bangkit membersihkan maruah yang tercalar. 

"Final di Jakarta ini memang sukar dan sengit, sudah tentu pengalaman kali ini lebih mencabar berbanding apa yang kami lalui di Laos, dua tahun lalu. Pertamanya kami terpaksa menghadapi ribuan penyokong fanatik mereka.

"Indonesia juga sudah pasti bermati-matian bukan sahaja untuk memastikan pingat emas tetapi mahu membalas dendam selepas kalah kepada Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan,'' ujar pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

Bagaimanapun tegas Baddrol, sebagaimana rakan-rakan sepasukannya berjaya menyerap segala tekanan dalam pertemuan Khamis lalu, dia yakin mereka juga memiliki mental yang tinggi untuk menangani situasi yang sama hari ini.

Malah, mereka pasti lebih bersemangat untuk menghadirkan kemenangan kerana menyedari kemenangan kali ini bukan sekadar menentukan juara kumpulan, malah memberi pingat emas. 

"Biarpun berdepan pelbagai kesukaran, janji kami hanya satu, memberikan persembahan terbaik dan mengambil kesempatan daripada pertahanan mereka yang agak goyah.

"Saya yakin jika semua mengikut perancangan dan berjalan lancar, kita mampu mempertahankan pingat emas," katanya.

Sementara itu penyerang muda negara, Muda, Izzaq Faris Ramlan kecewa kerana terpaksa disisihkan daripada aksi final akibat kecederaan lutut. 

Penjaring gol kemenangan Malaysia ketika mengalahkan Thailand 2-1 di peringkat kumpulan itu mengalami kecederaan tersebut pada aksi separuh akhir menentang Myanmar, kelmarin.

"Selepas perlawanan separuh akhir dengan Myanmar semalam (kelmarin), perasaan saya bercampur baur, gembira dan sedih. Gembira kerana kita akhirnya berjaya ke perlawanan akhir, namun dalam masa yang sama kecewa kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan beraksi pada pentas final akibat cedera.
"Saya berdoa semoga kita memenangi perlawanan akhir itu nanti dan saya percaya rakan-rakan sepasukan mampu memenanginya.

"Secara peribadi memang saya mahukan pingat emas bola sepak Sukan SEA," katanya.


Keputusan Perlawanan Malaysia Vs Indonesia Sukan SEA 2011


 Malaysia Vs Indonesia
1            -            1

Penalti
4           -           3




Anda sedang membaca artikel Perlawanan Akhir Malaysia Vs Indonesia Sukan SEA 2011 dan link url bagi entri ini adalah http://manmala.blogspot.com/2011/11/perlawanan-akhir-malaysia-vs-indonesia.html. Semoga artikel Perlawanan Akhir Malaysia Vs Indonesia Sukan SEA 2011 ini bermanfaat buat anda.


Post a Comment

 
Blogged.my

Return to top of page Copyright © OCT 2011 | manmala | Mereka Yang Memberi Lebih Mulia Dari Yang Menerima | HackTutors