0 Calon Pegerakan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi diisytihar Presiden





Calon Pegerakan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi diisytihar Presiden ? Calon Pegerakan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi diisytihar Presiden negara demokratik Mesir yang pertama oleh jawatankuasa pilihan raya semalam selepas beliau menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dengan 51.7 peratus undi pada pusingan kedua pilihan raya Presiden yang berlangsung minggu lalu.
 
"Pemenang pilihan raya Presiden Mesir pada 16 dan 17 Jun ialah Mohamed Morsi Eissa Al-Ayat," kata ketua suruhan jaya pilihan raya, Faruq Sultan.

Menurutnya, Morsi memperoleh 13,230,131 undi berbanding 12,347,380 undi yang diperoleh Shafiq.

Sekitar 51.8 peratus daripada lebih 50 juta pengundi berdaftar keluar membuang undi pada pilihan raya tersebut.

Morsi, 60, bakal menggantikan Hosni Mubarak yang digulingkan semasa kebangkitan rakyat Mesir 16 bulan lalu.

Namun, majlis tentera yang memerintah sejak kejatuhan Mubarak telah bertindak mengekang kuasa Presiden Mesir.

Langkah tersebut dilihat akan memaksa Morsi bekerjasama dengan tentera sebelum boleh merombak perlembagaan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beribu-ribu penyokong Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir membanjiri Dataran Tahrir di sini bagi meraikan kemenangan Morsi.

Mereka bersorak "Tuhan Maha Besar!" sambil mengibarkan bendera Mesir.

"Kemenangan ini merupakan hasil keazaman rakyat Mesir yang mahu suara mereka didengari," kata seorang jurucakap Morsi. 

Sementara itu, Shafiq belum mempamerkan sebarang reaksi berhubung kemenangan Morsi.
Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya memberitahu, beliau akan menawarkan diri untuk berkhidmat di bawah pentadbiran Morsi.

Morsi sebelum ini memenangi pusingan pertama pilihan raya Presiden Mesir.

Beliau turut berjanji akan membentuk pentadbiran inklusif yang dapat memuaskan hati pelbagai lapisan masyarakat Mesir termasuk golongan minoriti Kristian di negara berkenaan.
 
 
 
 
 
[Read More...]


 

Return to top of page Copyright © OCT 2011 | manmala | Mereka Yang Memberi Lebih Mulia Dari Yang Menerima | HackTutors