Google Beli Motorola Mobility? Syarikat enjin carian Internet, Google Inc. menyempurnakan proses
pembelian pembuat peranti, Motorola Mobility pada harga AS$12.5 bilion
(RM39.2 bilion) kelmarin.
![]() |
LAMAN Google dipaparkan pada skrin
telefon Motorola Droid. Pengambilalihan ini membolehkan Google
menghasilkan rangkaian telefon pintarnya sendiri.
|
Pembelian itu diselesaikan selepas sembilan bulan Google Inc. membuat
pengumuman mengejutkan bahawa ia mahu mengembangkan portfolionya kepada
perniagaan perkakasan yang disifatkan sebagai berisiko tinggi dan
mahal.
Langkah itu membuatkan Google kian aktif dalam perniagaan telefon
bimbit yang diceburinya sejak empat tahun lalu menerusi pengenalan
perisian Android keluarannya.
Seperti yang dijangka, Ketua Pegawai Eksekutif Google, Larry Page
menamakan orang kanannya, Dennis Woodside sebagai Ketua Pegawai
Eksekutif Motorola.
Woodside, 43, yang merupakan Presiden Google untuk rantau Amerika
terkenal kerana berjaya membawa perolehan sebanyak AS$17.5 bilion (RM55
bilion) kepada Google melalui pengiklanan secara talian dalam tempoh
tiga tahun.
Pengambilalihan itu direalisasikan selepas pihak berkuasa Amerika
Syarikat (AS) berpuas hati bahawa ia tidak akan membantutkan persaingan
dalam pasaran telefon pintar.
Google dikatakan mahu memiliki Motorola kerana 17,000 paten telefon
bimbit yang telah dihasilkannya. Selain itu, Google juga dilihat
berminat untuk menghasilkan komputer tablet bagi menyaingi Apple iPad
dan Kindle Fire keluaran Amazon.com. Tablet itu bakal dikuasakan oleh
perisian Android.

Post a Comment