Hukum Berdoa Dengan Mengangkat Tangan? Imam
Bukhari telah mewujudkan satu bab khusus mengenai mengangkat kedua
belah tangan ketika berdoa. Kemudian beliau telah menyebut tiga hadith
menyokong pendapatnya bahawa berdoa mengangkat kedua belah tangan memang
suatu amalan yang disyariatkan. Ketiga-tiga hadith tersebut ialah :
1. Hadith pertama ini adalah daripada Abu Musa al 'Asy'ari radiyaLlahu
anhu katanya yang bermaksud : "Berkata Abu Musa al 'Asy'ari : "Nabi
sallaLLahu 'alaihi wasallam telah berdoa sambil mengangkat kedua-dua
belah tangannya. Di saat itu aku terlihat warna putih kulit di bawah
kedua-dua ketiaknya."
2. Hadith kedua ialah daripada AbduLlah
Ibnu Umar radiyaLlahu 'anhu, katanya yang bermaksud : "RasuluLlah
sallaLLahu 'alaihi wasallam telah mengangkat kedua-dua tangannya sambil
berdoa: "Wahai Tuhanku! Aku berlindung denganMu daripada segala
kejahatan Khalid".
3. Hadith ketiga daripada Abu AbdiLLah, katanya yang bererti :
"Kata Uwaisi: "Muhammad bin Ja'afar telah memberitakan kepadaku
daripada Yahya bin Sa'id dan Syarik, bahawa kedua-duanya telah mendengar
daripada Anas, daripada Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam, bahawa
Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam telah mengangkat kedua-dua tangannya
(ketika berdoa) sehingga aku nampak kulit berwarna putih di bawah
kedua-dua ketiak RasuluLlah sallaLlahu 'alaii wasallam
(sumber : Fathul Bari li Ibni Hajar jilid 18/ m.s 113)
Al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani telah mengulas hadith di atas dengan katanya :
Maksudnya : "Hadith pertama menjadi hujah untuk menolak pendapat orang
yang mengatakan bahawa berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangan
sehingga menampakkan kulit berwarna putih di bawah ketiak tidak boleh
dilakukan melainkan berdoa meminta hujan. Bahkan hadith pertama juga dan
hadith berikutnya menjadi dalil bagi menolak pendapat orang yang
mengatakan bahawa kedua-dua tangan langsung tidak boleh diangkat semasa
berdoa melainkan berdoa meminta hujan. Mereka berpegang dengan kepada
hadith Anas yang bermaksud : "Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam langsung
tidak pernah mengangkat kedua-dua tangannya ketika berdoa melainkan
berdoa meminta hujan sahaja."
Hadith ini memang sahih, tetapi
para ulama' telah menyatukan maksud Hadith Anas bin Malik ini dengan
ketiga-tiga Hadith di atas tadi dan semua Hadith yang mempunyai makna
sepertinya, dengan pentafsiran bahawa penafian mengangkat tangan oleh
RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam yang dinyatakan oleh Anas ialah
dari segi cara mengangkat tangan sahaja dan bukannya menafikan langsung
tidak mengangkat tangan,"
Kesimpulannya, cara mengangkat tangan
ketika berdoa untuk meminta hujan berbeza dengan cara mengangkat tangan
ketika berdoa untuk tujuan lainnya.
Mengangkat kedua-dua belah
tangan ketika berdoa untuk meminta hujan adalah lebih tinggi iaitu
sehingga kedudukan kedua-dua tangan sampai menyamai paras muka dan
mengangkat tangan ketika berdoa untuk lainnya ialah hanya setakat
menyamai paras kedua-dua bahu sahaja. (Dalam masa yang sama) jangan
terkeliru dengan hadith-hadith yang menyebutkan :
"Sehingga
dapat dilihat kulit putih kedua-dua ketiaknya" ketika berdoa untuk
meminta hujan dan untuk lainnya. Bahkan hendaklah disatukan kedua-dua
riwayat ini dengan maksud, kulit putih di bawah kedua-dua ketiak lebih
banyak dapat dilihat ketika berdoa meminta hujan berbanding berdoa untuk
tujuan lainnya. Boleh jadi juga kerana kedua-dua telapak tangan semasa
berdoa meminta hujan ditelungkupkan ke bawah iaitu menghadap ke
permukaan bumi, sedangkan berdoa untuk tujuan lainnya, kedua-dua telapak
tangan dihalakan ke langit."
Berkata Imam al Munziri :"Kalau
diandaikan hadith-hadith tersebut tidak dapat disatukan maksudnya, maka
mensabitkan wujudnya perbuatan mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa
untuk meminta hujan dan untuk tujuan lainnya oleh Nabi sallaLLahu
'alaihi wasallam mestilah diberikan keutamaan berbanding sebaliknya
(berdoa dengan langsung tidak mengangkat kedua-dua tangan untuk tujuan
lainnya).
Kata Ibnu Hajar al Asqolani : "Saya ingin tegaskan:
"Lebih-lebih lagi kerana banyak hadith-hadith yang diriwayatkan telah
memberikan penjelasan mengenainya.
Imam an Nawawi telah
mengulas Hadith Anas yang menafikan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi
wasallam mengangkat tangan ketika berdoa dengan katanya : "Hadith Anas
ini dari segi zahirnya telah menimbulkan kekeliruan bahawa RasuluLlah
sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengangkat tangan ketika berdoa
melainkan berdoa untuk meminta hujan. Hakikat sebenar dalam
permasalahan ini bukannya begitu. Bahkan telah wujud hadith-hadith sahih
yang menyatakan bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah
mengangkat tangan ketika berdoa di banyak tempat selain daripada berdoa
meminta hujan. Ianya terlalu banyak untuk dihitung! Aku telah
menghimpunkan lebih kurang 30 hadith yang berkaitan dengan RasuluLLah
sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa, yang
dipetik daripada kitab Sahih Bukhari dan Muslim atau salah satu daripada
keduanya dan aku telah memuatkannya di dalam kitab Syarhu al Muhazzab
pada akhir Bab Sifat Solat.
Hadith Anas tadi hendaklah
ditafsirkan bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam tidak
mengangkat tangannya ketika berdoa sehingga menampakkan kulit putih
dibawah kedua-dua ketiaknya melainkan berdoa untuk meminta hujan atau
ianya bermaksud Anas RadiyaLLahu anhu tidak pernah melihat Baginda
sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa, tetapi para
sahabat lainnya melihatnya mengangkat tangan. Justeru itu, kita perlu
memberi keutamaan kepada para Sahabat yang memperakui bahawa RasuluLlah
sallaLlahu 'alaihi wasallam mengangkat tangannya ketika berdoa yang
berlaku dalam banyak peristiwa kerana bilangan mereka ramai berbanding
dengan Anas seorang sahaja yang menafikankanya disebabkan ketiadaannya.
Kata-kata Anas radiyaLlahu anhu mestilah ditafsirkan semula seperti yang telah kami sebutkan tadi. WaLlahua'lam.
(sumber : Syarh an Nawawi 'ala Muslim Jilid 3/ m.s 299)
Related Posts : Tazkirah


2 comments
konfius..
Really interesting blog, keep up the good work!im Neff from hollister outlet
Post a Comment