2 ISA Dimansuh, Dua Undang-undang Baru Berkaitan Keselamatan Akan Digubal



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Mengumumkan keputusan itu dalam perutusan khas Hari Malaysia malam ini, Najib berkata dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.


Dalam perutusan yang disampaikan di hadapan lebih 800 hadirin di Angkasapuri dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan RTMi, Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Katanya apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

"Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi," katanya.

Najib ketika mula-mula mengambilalih tampuk pemerintahan pada 3 April 2009 telah berjanji untuk mengkaji ISA secara komprehensif.

Dalam perutusan tersebut, Najib menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan hak asasi sesiapa sahaja yang terbabit di bawah undang-undang baru itu nanti terus terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

"Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

"Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan," katanya.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Najib berkata kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan apa-apa undang-undang yang tidak lagi relevan.
Anda sedang membaca artikel ISA Dimansuh, Dua Undang-undang Baru Berkaitan Keselamatan Akan Digubal dan link url bagi entri ini adalah http://manmala.blogspot.com/2011/09/isa-dimansuh-dua-undang-undang-baru.html. Semoga artikel ISA Dimansuh, Dua Undang-undang Baru Berkaitan Keselamatan Akan Digubal ini bermanfaat buat anda.


2 comments

15 September 2011 at 23:19

jgn smpai 2 akta tu sama cam ISA udah lerrr..

17 September 2011 at 17:33

btul tu, harap jgn lebih teruk dari ISA.

Post a Comment

 

Return to top of page Copyright © OCT 2011 | manmala | Mereka Yang Memberi Lebih Mulia Dari Yang Menerima | HackTutors