1 CUEPACS Gesa Kakitangan Awam Tidak Menandatangani SBPA






CUEPACS Gesa  Kakitangan Awam Tidak Menandatangani SBPA? Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kakitangan awam tidak menandatangani surat opsyen menerima skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sehingga wakil mereka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, satu pertemuan dengan Najib akan diadakan pada 22 Disember ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dekat sini bagi meluahkan kekecewaan mereka mengenai kelemahan skim baru itu.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu nanti, pihaknya akan memaklumkan mengenai beberapa kelemahan yang terdapat dalam SBPA kerana ia dibimbangi menganiayai kakitangan awam.

"Saya yakin Perdana Menteri sendiri pun tidak tahu wujudnya kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham dengan masalah kami.

"Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim berkenaan sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) di Hotel Carlton Holiday di sini hari ini.

SPBA diumumkan oleh Najib pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300. 

Omar berkata, menerusi SBPA mereka yang menerima markah kurang daripada 70 selama tiga tahun berturut-turut selepas dibuat penilaian oleh pegawai mereka akan dinasihatkan untuk bersara awal.

"Ini hanya akan mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar untuk minum teh tarik bersama pegawai mereka di kantin pejabat supaya mereka akan dinilai dengan markah yang baik setiap tahun.

"CUEPACS bukan menolak cadangan untuk mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi tetapi kami yakin ada cara lain untuk menentukannya," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam ketika ditemui pemberita di Seri Kembangan hari ini berkata, CUEPACS perlu menjelaskan secara lebih terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA supaya ia dapat ditangani secepat mungkin.

Beliau berkata, perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan antara cara terbaik dalam membantu kerajaan mengambil langkah yang dapat menggembirakan semua pihak.

"Tujuan kerajaan ialah untuk membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi kalau ini mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan kepada kerajaan supaya perkara itu boleh ditangani dan semua orang puas hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar di Seri Kembangan hari ini.


SUMBER: Utusan

Anda sedang membaca artikel CUEPACS Gesa Kakitangan Awam Tidak Menandatangani SBPA dan link url bagi entri ini adalah http://manmala.blogspot.com/2011/12/cuepacs-gesa-kakitangan-awam-tidak.html. Semoga artikel CUEPACS Gesa Kakitangan Awam Tidak Menandatangani SBPA ini bermanfaat buat anda.


1 comment

21 December 2011 at 12:46

semoga perbincangan selanjutnya ditemukan cara terbaik dalam membantu kerajaan mengambil langkah yang dapat menggembirakan semua pihak.

Post a Comment

 

Return to top of page Copyright © OCT 2011 | manmala | Mereka Yang Memberi Lebih Mulia Dari Yang Menerima | HackTutors