Kisah Penggunting Rambut Dan Seorang Lelaki? Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk
memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti
biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan
mempersilakannya duduk.
Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti
bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan
harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang
agak berat.
“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.
“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang
dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di
sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si
penggunting rambut.
“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu
keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!”
sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si
penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.
“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan
buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting
rambut yang umurnya 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai.
Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar
tingkap.
“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.
“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.
“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik
tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu
meminta pandangan.
“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.
“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba
lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.
“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.
“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik
tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.
“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya
tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik
tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting
rambut.
“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut
saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan,
pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu
adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka
semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.
Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.
“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah
memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu
al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka
menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH,
tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam
sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan
pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”
“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut
tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.
“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya
encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi,
alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya”
Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu
turut tertawa juga.
Antara pengajaran penting:
Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa. DIA lah
tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap. ALLAH tidak
beranak dan tidak diperanakkan. Dan DIA tidak sama dengan mana-mana
satu pun.
Patuhlah kepada perintah ALLAH dan jauhilah larangan ALLAH. Kerana
padanya terdapat kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh. “Aslim,
taslam”. Ambillah ISLAM secara keseluruhannya, nescaya semua manusia
dan makhluq yang menghuni bersama manusia akan selamat.
Peringatan:
Ini hanyalah perumpamaan untuk dibuka fikiran sahaja. Kisah
sebegini baik untuk disampaikan untuk mengajak manusia berfikir dan
merenung. Namun, perumpamaan ini tidaklah tepat dengan ALLAH. Kerana
ALLAH itu adalah Tuhan yang tiada suatu pun yang sama denganNYA.
Semoga ada manfaat padanya, insyaALLAH.
WAllahu Ta`ala A`lam.
3 comments
cerita yang menarik
style!
yup..stuju.
klu kita nak perbaiki diri kita, kita yg perlu brjumpa dengn yg septutnya
Post a Comment