Hampir 200 penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari sini ke
Papar terselamat apabila kenderaan itu merempuh sebuah lori tangki
minyak mengakibatkan berlaku kebakaran dan letupan berhampiran Lapangan
Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini petang ini.
Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan kesesakan trafik yang
teruk apabila jalan hadapan KKIA menghala Putatan terpaksa ditutup pada
pukul 6 petang kerana api yang marak.
Difahamkan lori tangki membawa muatan 27,000 liter petrol itu
terbakar serta-merta selepas dirempuh, seterusnya berlaku letupan kuat
dan asap hitam tebal menjulang setinggi 30 meter.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, bagaimanapun,
tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian malang tersebut dan
hanya sembilan orang penumpang dilaporkan cedera.
Beliau berkata, pemandu lori tangki minyak dan pemandu keretapi juga
tidak mengalami sebarang kecederaan serius kerana sempat menyelamatkan
diri.
“Lori tangki itu dilaporkan cuba melintas laluan keretapi yang
terletak berhampiran jalan besar dekat KKIA bagi menghantar minyak ke
sebuah stesen terletak berhampiran dengan laluan keretapi tersebut.
“Namun ia dipercayai tidak sempat melintas dan menyebabkan dirempuh
keretapi yang menuju ke Papar,” katanya pada sidang akhbar di sini,
malam ini.
Menurut pemandu lori tangki itu yang ingin dikenali sebagai Pouleh
Dansun, sebelum kejadian, dia terdengar hon kuat tetapi menyangka ia
dibunyikan oleh kenderaan di belakangnya.
“Namun setelah ditoleh ke kiri sebuah kereta api menuju ke arah saya.
Saya cuba memecut lori itu untuk melintas laluan keretapi tersebut
tetapi gagal.
“Kereta api itu lalu merempuh bahagian belakang lori dan menyebabkan
ia terbakar dan meletup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Menurut saksi, penumpang-penumpang dalam kereta api itu berjaya
menyelamatkan diri selepas pelanggaran berlaku dengan melarikan diri ke
bahagian belakang keretapi.
Mangsa-mangsa yang cedera segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Fauzi berkata,
lima kereta bomba dari balai bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas
dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Katanya, mereka juga dibantu dengan sebuah kereta tangki air dan dua
kereta bomba dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat lapangan terbang
itu.
Berikut gambar-gambar kejadian kebakaran yang melibatkan kereta api dan lori tangki minyak
Jangan lupa klik Google +1 ye